![]() |
Foto hiasan |
TUARAN — Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi laut di Kampung Karambunai Baru di sini, semalam ditemukan lemas malam tadi.
Mayat Mohd Bustaman Hamma, 56, ditemui penduduk kampung yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada jam 8.45 malam kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.01 petang semalam.
Katanya, seramai 10 anggota termasuk unit anjing pengesan (K9) bergegas ke lokasi kejadian berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Selepas hampir lima jam SAR dijalankan, pasukan penyelamat menerima maklumat berhubung penemuan mangsa."
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. BH