KUALA LUMPUR — Kes typhoid yang rintang terhadap antibiotik dikesan meningkat berikutan penggunaan ubat antibiotik yang berleluasa tanpa kawalan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata peningkatan kes typhoid yang rintang terhadap ubat antibiotik, khususnya jenis quinolone adalah membimbangkan.
Katanya antibiotik quinolone adalah rawatan utama penyakit typhoid.
"Bagaimanapun penggunaan antibiotik yang berleluasa tanpa kawalan memberi impak negatif kepada kes penyakit berjangkit yang memberi ancaman kepada kesihatan awam.
"Terdapat peningkatan kes typhoid dari 64 kes pada tahun 2020 kepada 102 kes sepanjang 2021 dan 90 kes pada tahun lalu, dengan majoriti kes membabitkan tiga negeri iaitu Selangor, Sabah dan Kelantan," katanya ketika merasmikan 'Persidangan Penyakit Tropikal Berjangkit' di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata negara juga kini berdepan ancaman baharu dalam jangkitan malaria iaitu jangkitan malaria zoonotik.
Katanya malaria zoonotik boleh mengakibatkan jangkitan malaria teruk dan berpotensi menyebabkan kematian sekiranya lewat didiagnos dan dirawat.
Katanya daripada jumlah malaria yang dilaporkan pada 2022, sebanyak 89.2 peratus adalah malaria zoonotik manakala selebihnya kes malaria import.
"Pada tahun 2022, sembilan daripada 11 kes kematian malaria membabitkan zoonotik dan dua kes malaria import," katanya.
Jangkitan malaria zoonotik adalah disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi.
Ia ditularkan dari haiwan (beruk/kera) yang menjadi perumah semula jadi bagi parasit ini kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles sp. BH