Langkau ke kandungan utama

Kerana kucing, jurujual dipenjara 2 tahun


Foto hiasan - Unsplash

KUALA LUMPUR — Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang jurujual atas pertuduhan mengabaikan lima kucing peliharaannya hingga mati kebuluran.

Hakim, Siti Aminah Ghazali, menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chia Lin, 31, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara setahun jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Chia Lin sebagai pemilik atau penjaga lima kucing didakwa tidak menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi hingga menyebabkan haiwan peliharaan yang dikurung mati dan bangkainya ditemui kemudian.

Kesalahan dilakukan di sebuah unit kediaman yang disewa di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras antara 14 Jun dan 3 Julai tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes pula, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada penduduk di kondominium itu bahawa rumah yang disewakannya kepada tertuduh berbau busuk seperti bangkai, pada 11 Mac lalu.

Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati ada beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

Pengadu menasihati penyewa supaya membuang sangkar berkenaan bagi mengelakkan penduduk membuat aduan terhadapnya.

Dua hari kemudian, pengadu bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan pergi ke rumah itu untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400.

Pengadu mendapati sangkar itu masih tidak dibuang manakala pintu rumah tidak berkunci menyebabkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan.

Bau busuk dikesan di bahagian dapur berpunca daripada peti ais dan daging kisar dalam baldi, manakala tertuduh sedang tidur dalam bilik.

Terdahulu ketika prosiding, Chia Lin yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Lelaki itu memberi alasan bahawa `tong' itu untuk menyimpan ayam perap, namun penjelasannya dipintas oleh hakim yang memaklumkan tertuduh hanya boleh merayu bagi meringankan hukuman.

"Tak kisah kucing perap ke ayam perap ke kerana kamu sudah mengaku bersalah terhadap pertuduhan. Kamu boleh merayu untuk meringankan hukuman saja," tegas Siti Aminah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, memohon tertuduh dipenjarakan untuk tempoh panjang sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.

Beliau berkata, lelaki itu sepatutnya menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi serta tempat yang selesa, namun meninggalkan haiwan peliharaan kering-kontang tanpa belas kasihan.

"Tertuduh pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun 2022 tanpa menyediakan sebarang makanan dan minuman hingga kucing itu mati kebuluran.

"Tertuduh tidak mengambil langkah proaktif untuk menanam bangkai, sebaliknya membiarkan begitu saja hingga menimbulkan masalah bau busuk dalam kejiranan kondominium berkenaan.

"Bukan saja pencinta kucing, orang biasa pun akan merasa sedih melihat bangkai binatang dibiarkan begitu sahaja dalam keadaan menyayat hati," katanya. BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...