Langkau ke kandungan utama

'Kenapa saya perlu berhutang untuk bayar hutang tertunggak?'


KUALA LUMPUR — "Kenapa saya perlu berhutang untuk membayar hutang tertunggak? Saya perlukan wang tetapi tidak sanggup menanggung faedah yang dikenakan bank apatah lagi dalam situasi ekonomi ketika ini," kata Nurul Najjat Mohd Yusof.

Nurul Najjat, 37, yang juga seorang kerani berkongsi pandangannya mengenai langkah membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran kepada bank bagi membuat pinjaman peribadi.

Katanya, kaedah cagaran dicadangkan kerajaan itu disifatkannya seperti menjerat leher pencarum yang terdesak.

Menurutnya, dia mahu menyelesaikan masalahnya termasuk tunggakan hutang dengan pengeluaran wang sendiri melalui caruman KWSP dan bukannya membuat pinjaman wang daripada bank atau mana-mana pihak.

"Sebelum ini pihak berkenaan menggalakkan rakyat tidak berhutang tetapi sekarang sebaliknya pula. Saya tak bersetuju dengan cadangan itu kerana apa gunanya berhutang dengan mencagarkan KWSP sedangkan kami boleh keluarkan duit sendiri.

"Saya sudah tidak sanggup membuat pinjaman dan pastinya kadar faedah ketika ini juga akan semakin tinggi dan akhirnya masalah tiada penyelesaian apabila rakyat terus berhutang," katanya.

Pekerja sektor perkapalan, L Amalraj, 34, pula berkata setakat ini dia tidak bercadang mengeluarkan wang carumannya, namun mengakui cadangan yang diumumkan itu tidak membantu rakyat.

"Seperti tidak logik kerana kaedah itu dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak saja dan pencarum pula yang perlu menanggung beban faedah yang menambah hutang mereka.

"Saya berpandangan biarlah pencarum yang betul terdesak mengeluarkan wang mereka tetapi boleh dihadkan peratusan pengeluaran wang itu kerana kita sedia maklum KWSP adalah simpanan untuk hari tua nanti," katanya.

Bagi Robo Ding, 44, dia berpandangan kaedah itu dapat membantu mana-mana pihak yang sebelum ini tidak layak membuat pinjaman dengan bank kerana tidak melepasi syarat sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, tidak menafikan kaedah itu tidak sesuai untuk semua rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan caruman sedikit.

"Cadangan ini adalah jalan alternatif untuk mereka yang terdesak berbanding meminjam daripada ceti haram yang akan memudaratkan kehidupan kelak," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum menerusi emel dan khidmat pesanan ringkas yang membantah cadangan pengeluaran KWSP secara kaedah kolateral.

"PGIRM juga sudah mendapat makluman daripada peguam kami bahawa di dalam Akta KWSP di bawah Seksyen 51, menyatakan deposit caruman KWSP tidak boleh dicagarkan kepada pihak ketiga.

"Justeru cadangan itu akan membebankan rakyat yang sedia maklum tuntutan pengeluaran kecemasan bersasar itu bertujuan menyelesaikan hutang yang tertunggak daripada pihak bank, pinjaman syarikat kredit, ceti haram, pinjaman kenalan terdekat dan permasalahan lain yang sedang dihadapi oleh rakyat sekarang ini," katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilapor berkata, kerajaan bersetuju memperkenal kaedah secara kolateral iaitu menggunakan wang caruman KWSP sebagai cagaran kepada bank untuk membuat pinjaman peribadi.

KWSP dalam kenyataan hari ini mengambil maklum dengan pengumuman itu dan sedang meneliti dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli KWSP sebagai cagaran untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka memerlukan bantuan tunai.

Sumber — BH

Catatan popular daripada blog ini

5 penderma teratas dana gempa Turkiye

Khemah bagi orang terlantar berikutan gempa bumi di Adiyaman, tenggara Turkiye, 25 Mac 2023. (AFP) RIYADH — Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan pada Jumaat mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi dan negara penderma lain yang menyumbang untuk meningkatkan lebih satu perempat daripada rayuan kilat dikeluarkan oleh PBB berikutan gempa bumi dahsyat di Turkiye, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA). PBB berkata ia telah mengumpulkan $268 juta sebagai tindak balas kepada rayuan dana kemanusiaan $1 bilion untuk kerja bantuan di Turkiye berikutan gempa bumi 7.8 magnitud pada 6 Februari dan gegaran susulannya yang memusnahkan sebahagian besar Turkiye tenggara dan sebahagian Syria yang dilanda perang. Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Jens Laerke berkata, 27 peratus daripada rayuan telah dibiayai dan penderma terbesar ialah Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), Kuwait, Suruhanjaya Eropah dan Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB, sambil menggesa negara-negara u...

Perkhidmatan pengintip Rusia berkata, AS latih militan untuk menyerang Rusia

MOSCOW — Perkhidmatan perisik asing Rusia berkata pada Isnin, ia telah menerima risikan bahawa tentera AS sedang melatih militan Islam untuk menyerang sasaran di Rusia dan bekas Kesatuan Soviet. Perkhidmatan Perisikan Asing Rusia, diketuai oleh sekutu Presiden Vladimir Putin, berkata ia mempunyai risikan bahawa 60 militan seperti itu daripada kumpulan yang bergabung dengan Daesh dan Al-Qaeda telah direkrut dan sedang menjalani latihan di pangkalan Amerika di Syria. “Mereka akan ditugaskan untuk menyediakan dan melakukan serangan pengganas terhadap diplomat, penjawat awam, pegawai penguatkuasa undang-undang dan anggota angkatan tentera,” kata Perkhidmatan Perisikan Asing, dikenali SVR. "Perhatian khusus diberikan untuk menarik pendatang dari Caucasus Utara Rusia dan Asia Tengah," kata SVR dalam satu kenyataan. Agensi itu tidak menerbitkan risikan di sebalik dakwaannya dan Reuters tidak dapat mengesahkannya secara bebas. SVR, pernah menjadi sebahagian darip...

Tahi itik, jala emas, buah tanjung tetap jadi pilihan Ramadan di Kelantan

Tahi itik - (Foto Wikipedia) KOTA BHARU — Kuih tradisi Kelantan seperti tahi itik, jala emas dan buah tanjung tetap menjadi pilihan utama orang ramai di negeri ini, untuk dijadikan juadah manisan untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan. Pengusaha kuih tradisional, Mohammed Omar, 65, berkata permintaan bagi semua kuih berkenaan meningkat berbanding hari biasa menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang membelinya di rumah. Katanya, setiap hari dia memerlukan 3,000 biji telur ayam untuk membuat tiga jenis kuih tradisional iaitu jala emas dan buah tanjung yang menggunakan seratus peratus telur kuning, manakala telur putih digunakan untuk membuat kuih tahi itik. "Saya sudah lebih 20 tahun berniaga menjual kuih bersama arwah isteri, Fatimah Nik Salleh yang meninggal dunia tujuh tahun lalu dan resepi untuk membuat semua kuih ini adalah daripadanya yang memiliki rasa sedap serta tidak terlalu manis dan rasa itu dikekalkan sehingga ke hari ini. ...