KOTA BHARU — Kelantan mengumumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM700 kepada kakitangan awam negeri dan lantikan politik.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini, turut mengumumkan elaun penghulu dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,500, berkuat kuasa serta-merta.
"Saya ingin mengumumkan bonus Aidilfitri sebanyak RM700 untuk semua penjawat awam dan lantikan politik.
"Pada masa sama, saya mengumumkan kenaikan elaun penghulu daripada RM1,100 kepada RM1,500," katanya.
Sementara itu, Ahmad memaklumkan setakat ini, bantuan sebanyak RM21.4 juta sudah diagihkan kepada mangsa banjir yang melanda Kelantan antara Disember 2022 hingga Januari lalu.
Katanya, ia meliputi bantuan RM12.3 juta bagi mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan RM9.1 juta lagi untuk mereka yang tidak berpindah.
Selain itu, beliau berkata, RM30,000 diberikan kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat banjir.
"Untuk makluman, peruntukan RM50 juta yang diumumkan Kerajaan Pusat diberikan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), dan mesyuarat juga sudah diadakan dengan ketua jajahan bagi mendapatkan senarai mangsa banjir yang berpindah serta tidak berpindah.
"Susulan itu, penyaluran bantuan kepada sebahagian mangsa banjir sudah dibuat membabitkan nilai RM21.4 juta.
"Namun, sebahagian lagi mangsa belum diberikan bantuan itu dan ia akan disalurkan dalam masa terdekat," katanya menjawab soalan Mohd Rodzi Ja'afar (PAS-Gaal) mengenai kaedah penyaluran bantuan RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan.
Sumber teks — BH