KANGAR — Tiga remaja lelaki dipercayai mangsa dera diselamatkan orang awam selepas ditemui dalam keadaan tidak bermaya di Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusof, dua daripada mangsa yang juga orang kurang upaya (OKU) dirantai di bahagian kaki manakala seorang lagi tidak dirantai.
Beliau berkata, seorang lelaki memberitahu ada terjumpa tiga kanak-kanak lelaki dirantai di kaki berada di tepi titi Jalan Kampung Tambun Tulang, menghala ke Utan Aji.
Mangsa berusia antara 13 hingga 16 tahun ditemui sekitar jam 11.55 malam.
"Dua daripada mangsa adalah OKU ditemui dengan keadaan kaki mereka dirantai dengan besi manakala seorang remaja tidak dirantai dan dijumpai oleh orang awam yang melalui Jalan Kampung Tambun Tulang menghala Ke Utan Aji di Simpang Empat.
"Kita percaya tiga mangsa ini adalah adik beradik berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun dan dua daripada mereka ini memiliki kad OKU.
"Mangsa dipercayai dikurung dan dirantai di dalam rumah oleh ibu mereka yang tidak tinggal bersama mereka," katanya ketika dihubungi hari ini. BH