JOHOR BAHRU — Situasi banjir di Johor terus menunjukkan perkembangan yang baik apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan setakat jam 8 pagi ini, berbanding malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir setakat ini tinggal 17,125 orang (4,907 keluarga) berbanding 19,041 mangsa (5,424 keluarga) pada jam 8 malam tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor memaklumkan, semua mangsa itu kini ditempatkan di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.
"Sehingga kini, masih terdapat dua daerah yang terjejas akibat banjir iaitu Batu Pahat dan Segamat.
"Mangsa banjir di Batu Pahat kini seramai 17,123 orang (4,906 keluarga) di 69 PPS, manakala Segamat kekal dengan kepada dua orang mangsa banjir (satu keluarga) di satu PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini. BH