BATU PAHAT — Seramai 500 anggota keselamatan diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga susulan jangkaan banjir semakin buruk di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata keadaan banjir yang menunjukkan trend peningkatan memerlukan anggota keselamatan bersedia pada setiap masa untuk memindahkan penduduk ke tempat lebih selamat.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah ini menerima secara puratanya lebih 10 panggilan kecemasan mangsa banjir terperangkap dan memohon diselamatkan setiap hari.
"Kita berikan tumpuan dan ambil serius setiap panggilan kecemasan ini dengan menghantar anggota keselamatan untuk segera bantu keluarkan mereka yang terperangkap.
"Dalam masa sama, anggota keselamatan turut memberikan tumpuan kepada pemindahan mangsa banjir di PPS yang ditenggelami bah. Semalam, anggota penyelamat pindahkan mangsa banjir dari PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bindu yang dinaiki air ke Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Hussein Onn (IPTHO)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau PPS Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Parit Raja, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, operasi memindahkan penduduk terjejas banjir di Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam lebih mudah berbanding di Sri Medan, sebelum ini.
Ini berikutan, katanya, penduduk mengambil keputusan keluar awal sebelum air banjir naik mendadak sekali gus mengambil iktibar insiden beberapa mangsa banjir di Sri Medan yang enggan berpindah sebelum membuat panggilan kecemasan.
"Penduduk di kawasan rendah yang berisiko dinaiki air perlu mengambil iktibar kejadian banjir yang berlaku di sebelum ini.
"Amaran awal yang diberikan seharusnya membuatkan penduduk lebih peka dan bersedia berpindah ke PPS apabila arahan dikeluarkan," katanya. BH