KOTA BHARU — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengingatkan peniaga yang menjual colek sepanjang Ramadan agar tidak menaikkan harga sesuka hati.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan pemeriksaan terutama premis yang tidak meletakkan tanda harga atau mengelirukan pelanggan.
"Biasanya kami membuat pemantauan berdasarkan aduan yang diterima selain mana-mana premis yang dipilih secara rawak.
"Tidak terkecuali adalah lokasi yang diviral orang ramai kerana kadang-kadang ia hanyalah promosi semata-mata tapi harga yang dikenakan mengelirukan pelanggan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Azman berkata, setiap hari premis yang menjual colek semakin bertambah sepanjang Ramadan dan sehubungan itu, pemeriksaan terus dilakukan sempena Op Pantau bermula 23 Mac lalu.
Katanya lagi, ramai juga dalam kalangan orang ramai yang mengambil kesempatan untuk muncul sebagai peniaga colek pada bulan Ramadan sahaja dan bertindak mengambil keuntungan berlipat kali ganda daripada perniagaan itu.
"Kes sebegini disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan kita mengingatkan agar peniaga tidak mengambil kesempatan sewenang-wenangnya menaikkan harga atas desakan ingin terlalu mengaut keuntungan di bulan puasa," katanya.
Terdahulu beliau hadir mengadakan tinjauan di Bazar Ramadan Rahmah (BRR), di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, sebanyak 477 premis diperiksa sepanjang Op Pantau dan dua daripadanya diberi amaran kerana tidak meletakkan tanda harga dan mengelirukan pembeli.
Katanya lagi, pada peringkat awal pihaknya menggunakan pendekatan 'Penguatkuasaan Berimbang' iaitu mendidik dan menasihati peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Op Pantau yang membabitkan 120 pegawai penguatkuasaan menumpukan bazar Ramadan, Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti jualan dalam talian.
"Setakat ini hanya dua kes sahaja direkodkan iaitu kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan mengelirukan pembeli yang mana keduanya diberikan amaran namun jika kesalahan masih lagi dilakukan di masa akan datang, kami tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun," katanya. BH