![]() |
Foto hiasan - Unsplash |
KUANTAN — Empat sekawan nyaris lemas, manakala seorang lagi rakan mereka dilaporkan hilang selepas dipukul ombak dan dihanyutkan arus deras ketika mandi di Pantai Cempaka, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang, mangsa yang hilang dikenali sebagai Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, dari Taman Kempadang Perdana dan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu melalui panggilan kecemasan 999 kira-kira jam 4.30 petang.
"Susulan itu, sepasukan pegawai serta anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bergegas ke lokasi untuk membuat pengesahan maklumat dan tinjauan awal.
"Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Marin serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut dikerah ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan sebaya ke pantai itu untuk bermandi-manda kira-kira jam 3.30 petang.
"Ketika sedang mandi, kumpulan remaja itu telah dipukul ombak besar dan dihanyutkan arus deras ke kawasan agak dalam, namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.
"Bagaimanapun, mangsa didapati hilang lalu rakannya meminta bantuan penduduk kampung. Namun, mangsa gagal ditemukan sebelum mereka menghubungi talian kecemasan 999," katanya.
Wan Mohd Zahari memaklumkan ketika kejadian, keadaan laut bergelora dengan ombak besar dan angin kencang, selain air laut sedang pasang besar.
"Bendera merah turut dinaikkan di sepanjang pantai, menandakan larangan untuk sebarang aktiviti pantai, namun tiada menara atau petugas pengawal pantai di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan serta-merta, dengan pencarian menumpukan rondaan di sepanjang pesisir pantai berkenaan hingga ke Pantai Sepat membabitkan empat pegawai dan 24 anggota lima agensi terbabit.
"Penggunaan bot penyelamat tidak begitu sesuai memandangkan keadaan angin kencang dan ombak tinggi di kawasan pesisir," katanya.
TEKS BH