ANKARA — Dua gempa bumi menggegarkan wilayah Hatay paling selatan Turkiye pada Isnin, hanya dua minggu selepas gempa besar melanda wilayah itu, kata agensi pengurusan bencana negara itu.
Menurut Presidensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), salah satu gempa bumi itu berlaku sekitar jam 8.04 malam waktu tempatan (1704GMT) di daerah Defne di Hatay, dengan magnitud 6.4, manakala satu lagi berlaku tiga minit kemudian, dengan pusat gempa di wilayah Samandag di Hatay, dengan magnitud 5.8.
Gempa pertama berlaku pada kedalaman 16.7 kilometer (10.4 batu), manakala gempa kedua pada kedalaman 7 km (4.3 batu). Kedua-duanya dirasai di kawasan sekitar.
Gempa bumi dua minggu lalu, walaupun berpusat di Kahramanmaras, 100 kilometer atau lebih dari Hatay, menyebabkan kerosakan besar di Hatay.
AFAD mengeluarkan amaran menggesa rakyat mengelak kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko kenaikan paras laut, yang boleh mencecah sehingga 50 sentimeter (1.6 kaki).
Naib Presiden Turki Fuat Oktay menyeru rakyat di wilayah itu supaya menjauhi bangunan yang rosak ketika pihak berkuasa mengimbas kawasan terjejas.
Wartawan Anadolu melaporkan bahawa beberapa bangunan telah runtuh selepas gempa bumi, yang turut dirasai di negara jiran Syria. .
Pada 6 Februari, gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 magnitud yang berpusat di Kahramanmaras melanda 10 wilayah lain – Hatay, Gaziantep, Malatya, Sanliurfa, Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye dan Elazig. Lebih daripada 13 juta orang telah terjejas oleh gempa bumi yang dahsyat itu.
Sekurang-kurangnya 41,000 orang terbunuh akibat gempa bumi besar di Turkiye, menurut angka rasmi terkini. Beribu-ribu yang lain cedera. ANADOLU