SOFIA, Bulgaria — Polis di Bulgaria pada Jumaat menemui sebuah trak terbiar mengandungi mayat 18 pendatang, yang kelihatan mati lemas.
Kementerian Dalam Negeri berkata, menurut maklumat awal, trak itu membawa kira-kira 40 pendatang dan mangsa yang terselamat dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan kecemasan.
Menteri Kesihatan Bulgaria Assen Medzhidiev berkata kebanyakan mangsa terselamat berada dalam keadaan sangat teruk.
"Mereka telah mengalami kekurangan oksigen, pakaian mereka basah, mereka membeku dan jelas tidak makan selama beberapa hari," kata Medzhidiev.
Trak itu ditemui ditinggalkan di lebuh raya berhampiran ibu negara, Sofia. Pemandu tiada di situ, tetapi polis menemui penumpang dalam petak rahsia di bawah muatan kayu.
Pihak berkuasa tidak segera memberikan kewarganegaraan pendatang. Media Bulgaria melaporkan mereka semua berasal dari Afghanistan.
Pada Oktober 2019, polis Britain menemui mayat 39 orang di dalam bekas peti sejuk yang telah diangkut ke England. Polis berkata, kesemua mangsa berumur dalam lingkungan 15 hingga 44 tahun, berasal dari kampung miskin di Vietnam dan dipercayai telah membayar penyeludup untuk membawa mereka dalam perjalanan berisiko bagi kehidupan lebih baik di luar negara.
Sumber AP